Dua peninju Jepun maut akibat kecederaan otak dalam pertunjukan sama

Buletin TV3 
Foto Shigetoshi Kotari (kiri) dan Hiromasa Urakawa. – Foto Instagram/worldboxingorg
TOKYO: Dua peninju warga Jepun meninggal dunia akibat kecederaan otak dialami dalam pertarungan berasingan pada acara sama di Tokyo, menurut pihak berkuasa.

Peninju super featherweight, Shigetoshi Kotari dan peninju lightweight, Hirosama Urakawa, yang kedua-duanya berusia 28 tahun, bertarung dalam kejohanan sama di Korakuen Hall, Tokyo pada 2 Ogos lalu.

Kedua-duanya kemudian dikejarkan ke hospital dan menjalani pembedahan otak.

Menurut laman sesawang gim MT Boxing semalam, Kotari yang bertarung sehingga seri selepas 12 pusingan menentang peninju Jepun, Yamato Hata, pengsan sejurus selepas perlawanan dan meninggal dunia pada jam 10.59 malam kelmarin.

“Beliau berusaha sedaya upaya untuk melawan kesakitan melalui pembedahan dan rawatan diterimanya di sebuah hospital di Tokyo, akibat pendarahan subdural akut, kata kenyataan dikeluarkan gim berkenaan.

Mengikut kenyataan Pertubuhan Tinju Sedunia (WBO) di Instgram hari ini Urakawa pula tewas pada pusingan kelapan dan terakhir menentang Yoji Saito, sebelum secara tragik meninggal dunia akibat kecederaan dialami semasa pertarungan.

Memetik laporan media tempatan, Urakawa meninggal dunia pada malam tadi.

“Berita yang menyayat hati ini menyusul hanya beberapa hari selepas pemergian Shigetoshi Kotari, yang meninggal dunia akibat kecederaan dalam perlawanan pada pertunjukan sama,” kata WBO sambil mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan dan komuniti tinju Jepun.

Bercakap kepada media tempatan selepas kedua-dua peninju dimasukkan ke hospital, Setiausaha Agung Suruhanjaya Tinju Jepun, Tsuyoshi Yasukochi, berkata mungkin ini kali pertama di Jepun dua peninju menjalani pembedahan otak kerana mengalami kecederaan pada acara sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan