Ibu mohon doa, tempurung kepala anak retak selepas ditolak rakan

KOSMO!
Aisyah Sofia yang kini sedang bertarung nyawa selepas dipercayai ditolak rakannya.
PETALING JAYA – Seorang ibu memohon orang ramai menitipkan doa buat anak perempuannya yang kini bertarung nyawa selepas dipercayai ditolak oleh rakannya di sekolah.

Menerusi perkongsian Zalinda Lin di Facebook, dia berkata tempurung kepala anaknya, Aisyah Sofia Rohaizan retak serta berlaku pendarahan dalam kepala dan tidak sedarkan diri.

“Dengan penuh rasa rendah hati, saya memohon semua kenalan, sahabat dan ahli keluarga agar sama-sama menitipkan doa buat anak saya, Aisyah Sofia Rohaizan, yang kini sedang bertarung nyawa selepas ditolak jatuh.

“Saya tidak tahu dan tidak boleh nak fikir sekuat mana kawan dia tolak sehingga menyebabkan kecederaan tersebut. Sesungguhnya saya reda dan cuba berlapang dada atas apa yang terjadi,” tulisnya.

Di dalam hantaran tersebut, Zalinda turut memuat naik sekeping gambar memaparkan anak perempuannya yang sedang memakai uniform sekolah rendah.

Zalinda turut mendoakan agar anaknya diberi kesembuhan selain dapat kembali tersenyum ceria seperti sediakala.

“Semoga Allah mengurniakan kesembuhan yang sempurna, memudahkan segala urusan rawatan, melindunginya dari sebarang komplikasi, serta mengembalikan senyuman dan keceriaannya seperti sediakala.

“Semoga ada diantara kalian yang Allah angkat doanya. Amin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan