Kelantan: Pelajar cedera dipukul, seluar dilondeh dan nyaris dijerut dawai

Buletin TV3 

PASIR MAS: Seorang pelajar Tingkatan Tiga cedera selepas dipercayai dipukul, seluar dilondeh dan nyaris dijerut dengan dawai oleh sekumpulan pelajar di sebuah sekolah di sini, semalam.

Kejadian dikatakan didalangi enam pelajar Tingkatan Empat kira-kira jam 10 pagi sebelum disedari guru yang melalui kawasan berkenaan.

Ibu saudara mangsa menerusi Facebook mendakwa anak saudaranya ditampar, dipukul dan seluar dilondeh.

Beliau mendakwa, anak saudaranya nyaris dijerut dengan dawai sebelum kejadian disedari guru yang secara kebetulan melalui lokasi berkenaan.

“Anak saudara saya ditendang, ditumbuk, dipukul, ditampar, seluar dilondehkan paras lutut, leher hampir dijerut dengan dawai.

“Jika guru tidak lalu, mungkin anak saudara saya sudah mati di tangan pembuli.

“Malam tadi enam keluarga datang rumah mak abah saya minta kami tarik kes. Saya minta tolong supaya keluarga pembuli berkenaan tidak meminta adik saya menarik kes ini.

“Semua pembuli itu baru Tingkatan Empat, namun boleh berfikir dan melakukan sampai tahap ini. Apa akan jadi bila mereka berusia 20 tahun?” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Susulan kejadian itu, katanya, polis menahan enam pelajar berusia 16 tahun dan proses tahanan reman dilakukan pagi ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan