Lelaki 46 tahun tahanan kes curi motosikal maut dalam lokap

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

Seremban: Seorang lelaki yang berada dalam tahanan reman di lokap Balai Polis Seremban 2, di sini, meninggal dunia jam 6.30 petang semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lelaki tempatan berusia 46 tahun itu ditahan pada 28 Ogos berkaitan kes curi motosikal.

"Satu insiden kematian membabitkan seorang tahanan yang berlaku di lokap Balai Polis Seremban 2 yang ditahan kelmarin bagi kesalahan mengikut Seksyen 379a Kanun Keseksaan.

"Terdahulu, si mati dibawa ke hadapan majistret dalam keadaan sihat untuk permohonan tahanan reman dan tiada sebarang pengaduan kepada majistret mahupun peguam," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata, kira-kira jam 6.30 petang semalam, anggota bertugas mendapati tahanan itu tidak sedarkan diri selepas cuba dikejutkan oleh tahanan lain.

"Pasukan perubatan dipanggil segera dan mengesahkan kematian lelaki itu di lokasi.

"Pihak polis memaklumkan perkara ini kepada ahli keluarga si mati dan siasatan segera dilakukan," katanya.

Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau mendapati tiada sebarang kecederaan dalaman dan luaran pada badan si mati.

"Setakat ini pihak polis masih menunggu laporan penuh dari pihak hospital bagi mengenal pasti punca sebenar kematian yang dilihat masih memerlukan keputusan ujian kimia bagi menentukan punca kematian," katanya.

Katanya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokap berkenaan menunjukkan tiada sebarang pergaduhan atau pergerakan yang mencurigakan hingga menyebabkan kematian.

"Siasatan dalaman sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dari Bukit Aman.

"Pihak polis komited terhadap prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan keadilan dalam menangani sebarang insiden sebegini serta menyeru orang ramai untuk memberi ruang kepada siasatan dijalankan dengan telus dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses undang-undang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan