Lelaki maut ditikam di hadapan rumah

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
PASUKAN paramedik menguruskan mayat lelaki maut ditikam di hadapan sebuah rumah dekat Jalan Sri Pagi 15, Taman Sri Pagi. FOTO Ihsan Pembaca
PASUKAN paramedik menguruskan mayat lelaki maut ditikam di hadapan sebuah rumah dekat Jalan Sri Pagi 15, Taman Sri Pagi. FOTO Ihsan Pembaca
Seremban: Seorang lelaki maut selepas dikatakan ditikam di hadapan sebuah rumah dekat Jalan Sri Pagi 15, Taman Sri Pagi, Senawang, di sini, dipercayai akibat perselisihan faham, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, suspek yang berusia 31 tahun ditahan dengan bantuan orang ramai, manakala mangsa terbaring di hadapan pagar rumah.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa dipercayai ditikam pada bahagian dada menggunakan pisau.

"Kira-kira jam 6.50 petang kami terima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan kejadian ini.

"Makluman awal mendapati seorang lelaki ditikam di Taman Sri Pagi. Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 7.28 malam oleh pegawai perubatan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

"Suspek dikatakan menikam di bahagian dada mangsa dengan menggunakan pisau sehingga menyebabkan kematian. Mangsa berusia 28 tahun.

"Seterusnya polis berjaya menangkap suspek dengan bantuan orang awam iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun serta merampas sebilah pisau," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Permohonan reman terhadap suspek dibuat pagi ini dan dibenarkan reman sehingga 18 Ogos depan. Mengenai motif kejadian, pihak kami masih dalam siasatan.

"Polis juga menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu pihak polis dalam kejadian ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan