Mahkamah arah kubur pelatih Palapes digali semula

Malaysiakini 

Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan supaya kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UTM Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, digali semula.

Hakim Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ibu Syamsul Haris iaitu Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 supaya kubur anaknya digali bagi bedah siasat kedua.

Semalam, hakim mendengar hujahan daripada tiga pihak iaitu Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sebagai responden pertama dan kedua serta Ummu Haiman selaku pemohon.

Dalam permohonannya, Ummu Haiman memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan bedah siasat semula ke atas jasad anaknya dalam tempoh 14 hari selepas ia dikeluarkan.

Bedah siasat itu juga hendaklah dijalankan dengan kehadiran pakar forensik dan turut dihadiri peguam atau wakil daripada firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.

Dia juga memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengeluarkan laporan dalam tempoh satu bulan dari tarikh ia dijalankan dan satu salinan laporan diberikan kepada peguamnya.

Turut dipohon, perintah yang mengarahkan Ketua Pengarah Bahagian Siasatan jenayah untuk melantik satu pasukan baru dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengambil alih tugas seperti yang dilakukan di dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.

Ummu Haiman juga memohon perintah bagi mengarahkan peguam negara menjalankan satu Inkues bagi menyiasat punca kematian anaknya.

Semasa prosiding, Ummu Haiman Bee diwakili peguam Naran Singh.

Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Huda Mohd Salehuddin mewakili responden pertama manakala responden kedua diwakili Pengarah Pendakwa Selangor, Kalmizah Salleh.

Syamsul, 22, meninggal dunia ketika menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) di Ulu Tiram, Johor.

Ibunya, yang dimaklumkan mengenai kematian anaknya pada 28 Julai, mengesyaki anaknya dibunuh dan meminta siasatan penuh.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Yusof Othman kemudian berkata tiada unsur jenayah atau kecederaan luaran ditemui pada mayat Syamsul pada awalnya, walaupun keputusan makmal masih ditunggu untuk mengesahkan punca kematian.

Pada 2 Ogos, Menteri Pertahanan Khaled Nordin mengumumkan pembentukan jawatankuasa antara kementerian untuk menyiasat kematian kadet itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan