Kelantan: Mayat pemancing ditemui dalam sawah padi

Buletin TV3 
Mayat seorang lelaki dipercayai pemancing ditemui di kawasan sawah padi ladang Merdeka, Jelawat, Bachok. - Foto ihsan pembaca/NSTP
Mayat seorang lelaki dipercayai pemancing ditemui di kawasan sawah padi ladang Merdeka, Jelawat, Bachok. – Foto ihsan pembaca/NSTP
BACHOK: Mayat seorang lelaki dipercayai pemancing ditemui dalam keadaan tertiarap di sawah padi Ladang Padang Merdeka, Jelawat, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian dipercayai 9.00 pagi, mayat Muhammad Daniel Redzuan Abdullah, 22 ditemui penduduk kampung yang melihat motosikal mangsa di bahu jalan kampung menuju sawah padi sejak petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman berkata, curiga dengan kehadiran motosikal jenis Yamaha Y14ZR tidak bertuan itu, penduduk melihat lebih dekat kawasan sawah padi sebelum menemui mayat mangsa di dalam sawah padi dengan keadaan tertiarap dan sebahagian muka berada dalam selut.

"Pemeriksaan di bahagian bawah badan si mati terdapat sebatang joran yang dipercayai digunakan untuk memancing.

"Keseluruhan tempat kejadian diperiksa namun tidak menemui sebarang objek atau cecair yang boleh mengaitkan kematian dengan perbuatan jenayah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, terdapat kad pengenalan diri di dalam dompet turut ditemui di atas batas sawah padi berkenaan.

Katanya, hasil keterangan saksi yang tinggal berdekatan, saksi mengatakan melihat motosikal berkenaan diletakkan di bahu jalan, namun sehingga malam masih berada di tempat sama dalam keadaan berkunci.

"Menurut ibu mangsa, anaknya keluar rumah dengan membawa joran dan peralatan memancing jam 5.00 petang pada Khamis.

"Ibu mangsa memaklumkan arwah mengalami sawan sejak dua tahun lalu dan dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini, mangsa kerap diserang sawan dengan keadaan mulut berbuih dan mengambil masa lebih kurang 10 hingga 15 minit untuk pulih daripada serangan sawan," katanya.

Mohd Azrie berkata, keterangan-keterangan saksi konsisten dan selari dengan penemuan mayat yang tidak menemui apa-apa kecederaan di bahagian luar badan.

"Bagaimanapun, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian bagi menentukan punca sebenar kematian," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan