Mengabaikan keselamatan: Pemandu van sekolah turunkan, ambil pelajar secara bahaya ditahan

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
TANGKAP layar rakaman tular pemandu van menurunkan dan mengambil pelajar secara berbahaya. FOTO Tular.
TANGKAP layar rakaman tular pemandu van menurunkan dan mengambil pelajar secara berbahaya. FOTO Tular.
Kajang: Polis menahan pemandu van sekolah yang menurunkan dan mengambil pelajar secara berbahaya sehingga tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata, polis mengesan satu video tular di Facebook memaparkan sebuah van dalam keadaan bergerak sedang menurunkan dan mengambil dua pelajar jam 5.43 petang hari ini.

Menurutnya, hasil semakan awal dapati, rakaman video itu menunjukkan sebuah van dalam keadaan bergerak sedang menurunkan dan mengambil dua pelajar sebuah sekolah di daerah Kajang yang boleh mendatangkan bahaya kepada pelajar dan pengguna jalan raya lain.

"Pihak polis mengesan dan menahan pemandu van iaitu seorang lelaki, berusia 59 tahun untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan didenda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak lebih dari lima belas ribu ringgit," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi balai polis yang berdekatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Zahrein di talian 017-3818422.

"Pihak polis menyeru supaya semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas, memandu dengan berhemah dan berhati-hati tidak kira di mana jua berada," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan