Murid bina laman web 'jual tubuh' di media sosial, kata Saifuddin

Malaysiakini

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan aktiviti tidak bermoral kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang menjual tubuh di media sosial.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, kegiatan itu dibongkarkan pihak polis dalam satu operasi yang dilakukan tahun ini.

Menurutnya, kanak-kanak itu mencipta laman sesawang dan kemudiannya berpakat dengan rakannya yang lain untuk menjual tubuh mereka di media sosial.

"Tahun ini 2025 kita bongkar, kita tumpaskan pulak geng budak sekolah dengan kerjasama kementerian berkaitan. Umur baru 12 tahun, yang buat laman sesawang budak perempuan 12 tahun, dia pakat dengan kawan-kawan dia empat orang.

"Kumpulan WhatsApp mereka ramai, ada 762 orang masing-masing (kanak-kanak) ambil gambar bahagian tubuh masing-masing kemudian jual (di media sosial) dan diberhenti sekolah sebab pendapatan dia jauh lebih tinggi daripada pendapatan mak bapa.

"Dia ambil gambar jual, dia dapat pendapatan total pendapatan sebulan (jauh) lebih besar daripada pendapatan mak bapa dia, buat apa dia nak sekolah lagi," kata Saifuddin di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan yang dibangkitkan Sabri Azit (PN-Jerai).

Sabri membangkitkan pertanyaan mengenai isu persundalan di negara ini dan langkah yang telah diambil oleh pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata dalam menangani isu sebegini membabitkan murid 12 tahun semestinya perlu ditangani bersama agensi lain.

"Jadi, dalam melaksanakan tindakan kita menjalankan kes macam ni kita kena dapatkan pandangan pelbagai agensi lain," katanya.

Dalam pada itu, tahun lalu Saifuddin berkata pihak polis berjaya menumpaskan kegiatan "swinger" iaitu bertukar pasangan secara suka bagi tujuan hubungan seksual.

"Pada Ogos 2024 melalui penyusupan yang dibuat oleh D7 unit pencegahan judi dan maksiat, kita berjaya mengesan laman sesawang yang mempromosikan swinger, aktiviti ini kemudiannya akhirnya kita serbu kondominium mewah di Kuala Lumpur.

"Kita tangkap pelajar universiti awam dan swasta, penjawat awam, kita tangkap juga warga asing, kemudian kita buka kes di bawah 372 kanun keseksaan, sekarang kes sedang berjalan pertuduhan sedang berjalan," katanya.

Tambah Saifuddin, lima akta digunakan bagi membendung kegiatan tidak bermoral ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan