Predeep Nambiar
M Santhiea pada mulanya didakwa atas tuduhan membunuh tetapi ditukar kepada tuduhan pilihan membunuh anak sendiri (infantisid).
Mahkamah Tinggi mendenda M Santhiea RM10,000 dan memutuskan untuk tidak mengenakan hukuman penjara kerana bimbang dengan keadaan kesihatan mental wanita itu.
GEORGE TOWN: Seorang pelajar kolej yang mencampak bayi baru dilahirkannya ke luar tingkap apartmen lima tahun lalu didenda RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi yang memutuskan tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap wanita itu.
Hakim Rofiah Mohamad berkata mahkamah mengambil kira tempoh tahanan M Santhiea selama lebih tiga bulan pada 2020 dan 2021, keadaan tertuduh yang tidak dapat mengawal emosi ketika ditunjukkan gambar bayinya dan diagnosis menghidap gangguan kemurungan teruk.
Rofiah berkata laporan menunjukkan Santhiea amat kesal, menanggung malu, dan masih berisiko untuk membunuh diri.
“Mahkamah berpendapat pendekatan pemulihan lebih baik berbanding hukuman berbentuk punitif,” katanya.
Rofiah berkata hukuman penjara boleh memburukkan lagi keadaan mental Santhiea, dengan merujuk laporan kebajikan masyarakat yang memberi amaran bahawa tertuduh berisiko tinggi mencederakan diri.
Beliau turut menggesa Santhiea untuk menggunakan peluang baharu itu untuk berbakti kepada keluarga dan negara.
Santhiea, 23, pelajar kolej berusia 18 tahun ketika dia membuang bayi yang baru dilahirkannya dari flat di Bandar Baru Air Itam pada 2020.
Wanita itu pada awalnya didakwa atas tuduhan membunuh, namun ditukar kepada pertuduhan pilihan membunuh anak sendiri (infantisid) di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan, yang terpakai kepada ibu dalam keadaan mental terganggu selepas melahirkan anak.
Santhiea ditahan selama beberapa bulan sebelum dibebaskan dengan jaminan, dan kemudian mengaku bersalah atas tuduhan pilihan.
Satu laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat menyatakan Santhiea cuba membunuh diri selepas kejadian dan sejak itu mengambil ubat antidepresan.
Keluarganya membayar denda tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiah Dahlaan mengendalikan pendakwaan manakala RSN Rayer mewakili Santhiea.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan