Agensi
Shanghai: Seorang lelaki berusia 61 tahun di timur China lumpuh selepas diserang strok pada hari perkahwinannya.
Memetik South China Morning Post, lebih menyedihkan apabila isterinya menghabiskan wang simpanan 1.1 juta yuan (kira-kira RM783,000) dan hanya meninggalkan 42 yuan (RM27.70) dalam akaunnya.
Menurut laporan News Morning Post pula, mangsa dikenali sebagai Wang berasal dari Shanghai dan sudah lebih 20 tahun bercerai sebelum ini.
Dia membesarkan anak perempuannya seorang diri sebelum berkahwin dengan Ren Fang pada 2016, seorang wanita yang 16 tahun lebih muda daripadanya.
Keluarga Wang mendakwa warga emas berstatus bujang di Shanghai sering menjadi rebutan kerana kebanyakan memiliki pencen kukuh, harta dan pampasan penempatan semula.
Ibu Wang bagaimanapun menentang perkahwinan itu kerana khuatir perbezaan umur besar menyebabkan Ren mempunyai niat tersembunyi.
Malangnya, pada hari perkahwinan, Wang rebah akibat serangan strok dan sejak itu keadaannya semakin merosot.
Menjelang 2019, dia lumpuh di bahagian kiri badan, hilang keupayaan bertutur dan hanya mampu berbaring dengan isyarat tangan kanan sebagai komunikasi.
Dia kemudian ditempatkan di rumah jagaan. Ren dan anak perempuannya bergilir-gilir menjaga lelaki itu.
Pada 2020, Wang dan anaknya menerima pampasan lebih 2 juta yuan (kira-kira RM1.32 juta) termasuk sebuah pangsapuri baharu selepas kediaman lama mereka dirobohkan.
Susulan itu, Ren memfailkan tuntutan hak penjaga tunggal dan cuba merampas pampasan berkenaan tetapi mahkamah hanya memberikan 1.1 juta yuan (kira-kira RM 726,000) kepadanya.
Wang kemudian didakwa memindahkan wang ke akaun yang dikawal Ren sebelum wanita itu mengeluarkan sejumlah besar wang, kadangkala 50,000 yuan (kira-kira RM33,000) sehari, hingga baki tinggal 42 yuan (kira-kira RM27.70) sahaja.
Difahamkan, Ren mendakwa wang itu digunakan untuk bil rumah jagaan dan makanan tambahan dan mendakwa dia mengeluarkan wang tunai untuk disimpan di bank di kampungnya bagi mendapat kadar faedah lebih baik.
Sejurus itu, anak Wang membawa kes itu ke mahkamah dengan menegaskan pencen bulanan bapanya sebanyak 6,000 yuan (kira-kira RM3,960) sudah mencukupi menampung kos jagaan dan perubatan.
Mahkamah akhirnya memutuskan Ren dan anak Wang perlu menjadi penjaga bersama dengan semua urusan kewangan memerlukan tandatangan kedua-duanya.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan