Penjual buah dituduh rogol pekerja bawah umur hingga hamil

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Sharifudin dituduh merogol pekerja perempuan bawah umur hingga hamil 23 minggu. FOTO Alias Abd Rani
Sharifudin dituduh merogol pekerja perempuan bawah umur hingga hamil 23 minggu. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Penjual buah yang baru semalam dituduh di Mahkamah Majistret Yong Peng kerana mencederakan isteri sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan merogol pekerja perempuan bawah umur hingga hamil 23 minggu.

Tertuduh, Sharifudin Abd Samad, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa merogol pekerja perempuan berusia 15 tahun dalam kedai buah miliknya di Batu Pahat antara jam 1 hingga 5 pagi dengan kejadian berlaku pada Februari dan 21 Julai lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu memandang tertuduh tidak mengaku bersalah untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dengan kes disebut semula pada 3 September ini.

Selain itu, mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan namun dia gagal membayar sebelum dihantar ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.

Pada masa sama, mahkamah memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu saksi pendakwaan terutama mangsa sehingga kes selesai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan