Perlis: Salah guna kuasa, dua kakitangan jabatan kerajaan direman

Aizat Sharif
am@hmetro.com.my
ANGGOTA SPRM Perlis membawa keluar dua suspek di Mahkamah Kangar bagi membantu siasatan salahguna jawatan untuk kepentingan peribadi membabitkan penyelewengan perolehan kerajaan negeri bernilai hampir RM100,000. FOTO Aizat Sharif
ANGGOTA SPRM Perlis membawa keluar dua suspek di Mahkamah Kangar bagi membantu siasatan salahguna jawatan untuk kepentingan peribadi membabitkan penyelewengan perolehan kerajaan negeri bernilai hampir RM100,000. FOTO Aizat Sharif
Kangar: Dua kakitangan sebuah jabatan kerajaan di Perlis direman lima hari sehingga 24 Ogos ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salahguna jawatan untuk kepentingan peribadi membabitkan penyelewengan perolehan kerajaan negeri bernilai hampir RM100,000.

Majistret Nurshahida Abd Rahim membenarkan permohonan reman terhadap kedua-dua lelaki berusia 42 dan 36 tahun bermula hari ini hingga Ahad hadapan.

SPRM menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Suspek yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir Kanan dan Penolong Pegawai Tadbir dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar menaiki kenderaan agensi itu pada jam 9 pagi tadi.

Menurut sumber, siasatan lebih menjurus kepada salah guna jawatan yang digunakan untuk kepentingan peribadi.

"Kita percaya suspek menyalahgunakan jawatan mereka untuk kepentingan peribadi membabitkan empat projek perolehan kerajaan negeri sejak 2020 hingga tahun lalu.

"Selain itu, siasatan turut mendapati kedua-dua suspek berkomplot dalam menggunakan jawatan mereka bagi menguruskan projek perolehan kerajaan untuk tujuan peribadi," katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Kangar, di sini hari ini.

Terdahulu, suspek ditahan sekitar jam 2 petang selepas dipanggil memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis di Kangar semalam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua kakitangan kerajaan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan