Ing Boon Seng
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melumpuhkan sindiket penyeludupan yang didalangi oleh pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beroperasi di selatan tanah air melalui Ops Sohor yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).
Lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam berusia lingkungan 30 sehingga 55 tahun itu ditangkap di sekitar Lembah Klang bagi membantu siasatan.
Empat daripada pegawai kanan tentera itu terdiri daripada dua pegawai kanan dan dua bekas anggota perisikan ATM menjadi suspek utama dalam bersubahat dengan sindiket penyeludup.
Pegawai-pegawai kanan tersebut yang ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan di selatan tanah air itu dipercayai bersekongkol bersama sindiket penyeludupan tersebut sejak lima tahun yang lalu dan disyaki telah mengumpulkan hasil rasuah sebanyak lebih RM3 juta.
Menurut sumber, pegawai-pegawai kanan tentera tersebut dipercayai bersubahat dan membocorkan maklumat-maklumat operasi kepada sindiket penyeludupan bagi mengelakkan sindiket terbabit daripada dikenakan tindakan, dan rangkaian penglibatan pegawai-pegawai kanan tentera terbabit di dalam sindiket tersebut adalah besar dan kompleks.
Barang seludup yang dibawa masuk ke negara ini adalah terdiri daripada dadah, rokok, dan barang-barang lain dari negara-negara jiran, dan membabitkan nilai barangan yang diseludup sebanyak RM5 juta sebulan.
Melalui intipan yang dijalankan selama 12 bulan, bayaran rasuah yang diberikan kepada pegawai-pegawai kanan tentera itu dipercayai berjumlah di antara RM30,000.00 sehingga RM50,000.00 bagi setiap kali aktiviti penyeludupan dijalankan oleh sindiket.
Sejumlah wang tunai bernilai lebih RM63,200 beberapa bungkusan dipercayai dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras, dan senjata tiruan turut ditemukan di premis-premis serbuan dan disita.
Dalam pada itu, seorang wanita warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah turut ditangkap semasa serbuan dijalankan, dan dipercayai menjadi wanita simpanan kepada salah seorang pegawai kanan tentera yang disyaki.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Opetasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Kes katanya disiasat di bawah seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Beliau menegaskan bahawa tindakan ini wajar diambil serius oleh semua pihak kerana ianya melibatkan penyeludupan yang berupaya menjejaskan keselamatan negara. Walaupun kita mempunyai pelbagai agensi untuk memantau dan mengambil tindakan namun kegiatan penyeludupan tetap berlaku.
Kesemua saspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan