Nor Azizah Mokhtar
am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang membunuh seorang pelajar kolej di sebuah rumah di USJ 2/1, Subang Jaya, adalah individu dikenali mangsa.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Mamat, berkata siasatan mendapati tiada kehilangan harta benda dalam kejadian berkenaan.
"Berdasarkan semakan awal, berkemungkinan suspek adalah individu dikenali memandangkan tiada barangan yang hilang dari lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.
Menurutnya, setakat ini polis sudah merekodkan 12 keterangan saksi bagi membantu siasatan.
"Motif kejadian masih dalam siasatan dan polis menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk mengenal pasti punca sebenar," katanya.
Pada Khamis lalu, seorang pelajar kolej perempuan berusia lingkungan 20-an ditemui mati tergantung pada kipas siling di ruang tamu tingkat dua rumah keluarganya.
Mangsa ditemui bapanya kira-kira jam 11.55 pagi sebelum pasukan perubatan mengesahkan kematian di lokasi kejadian.
Hasil bedah siasat di Hospital Serdang mengesahkan punca kematian akibat pendarahan pada tulang hyoid serta kesan jerutan menggunakan tangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan