Tiga remaja disyaki bunuh remaja 19 tahun

Agensi

London: Polis menahan tiga remaja lelaki disyaki menikam remaja berusia 19 tahun hingga maut di kawasan tempat letak kenderaan padang bola sepak di Bury, Greater Manchester, England.

Mangsa yang parah akibat luka tikaman di badan, meninggal dunia tidak lama selepas kejadian di Market Street pada jam 9 malam, Jumaat lalu.

Polis Greater Manchester mengesahkan tiga suspek lelaki yang kesemuanya berusia 19 tahun ditahan dengan seorang daripadanya diberkas di Lapangan Terbang Manchester pada jam 4.30 pagi semalam.

Dua lagi tangkapan dibuat di Bury dan Bolton pada Sabtu. Ketiga-tiga suspek kini dalam tahanan untuk siasatan lanjut yang diketuai Pasukan Jenayah Utama Polis Greater Manchester.

Inspektor Ketua Detektif (DCI), John Charlton berkata, siasatan masih berjalan dan akan diteruskan sehingga minggu depan, meskipun tiga suspek sudah ditahan.

"Insiden ini sangat tragik dan kejam, disaksikan ramai orang. Ia mengejutkan komuniti dan mengganggu emosi sesiapa yang menyaksikannya.

"Bagaimanapun kami percaya ini adalah serangan bersasar tanpa ancaman yang lebih luas," katanya yang dilapor Mirror UK.

Sejurus kejadian, polis mengawal lokasi kejadian dan anggota ditempatkan beberapa hari di situ untuk pemantauan, selain siasatan mengenal pasti motif kejadian.

Polis turut menyediakan pegawai khidmat sokongan untuk membantu ahli keluarga mangsa menghadapi masa sukar itu.
-hmetro 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan