MPV terbabas, tiga lelaki Bangladesh terbunuh
Fazli Ahmad
am@hmetro.com.my

KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO IPD KUANTAN
Kuantan: Tiga lelaki warga Bangladesh terbunuh dan dua cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas di Kilometer 200.8, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, dekat Gambang, di sini, malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati nahas 7.30 malam itu dipercayai kerana kenderaan terbabit hilang kawalan dan terbabas ke kiri lebuh raya.
Menurutnya, ketika kejadian, semua mangsa dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur.
"Akibat nahas itu, tiga mangsa terbunuh di tempat kejadian dan dua cedera.
"Siasatan juga mendapati pemandu MPV terbabit tidak mempunyai lesen memandu, serta cukai jalan kenderaan terbabit sudah tamat tempoh sejak Mei 2025." katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mangsa terbunuh, pemandu MPV terbabit, Md Sabber Hasan, 30, dan penumpang Md Jahid Hasan, 21, dan seorang lagi hanya dikenali Abdullah, 24.
Mangsa tercedera ialah Md Habib Bissas, 45, dan Maniram Chandra Bas, 40.
Mangsa cedera sedang dirawat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, dan tiga mayat nahas itu dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.
Mohd Adli berkata, siasatan lanjut mengenai punca nahas sedang dilakukan termasuk mendapat keterangan saksi kejadian dan mengesan majikan semua warga Bangladesh terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan