Wanita China serang, cederakan pegawai imigresen di KLIA

Noor Hidayah Tanzizi
hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
WANITA warga China yang ditahan kerana mencederakan pegawai imigresen ketika pemeriksaan di KLIA. FOTO AKPS
WANITA warga China yang ditahan kerana mencederakan pegawai imigresen ketika pemeriksaan di KLIA. FOTO AKPS
Sepang: Seorang wanita warga China ditahan kerana bertindak agresif dan mencederakan pegawai kaunter imigresen ketika pemeriksaan pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.40 malam di Balai Berlepas KLIA Terminal 1 apabila empat warga China terdiri daripada dua dewasa dan dua kanak-kanak menjalani pemeriksaan pelepasan imigresen.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berkata, pegawai kaunter mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod pergerakan masuk dan merujuk kepada Penyelia Pasukan untuk semakan lanjut.

Bagaimanapun katanya, seorang wanita dewasa terbabit tidak berpuas hati apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dibuat.

"Suspek kemudian mengeluarkan perkataan kesat kepada pegawai, sebelum menarik tudung pegawai terbabit dan menolak kepalanya dengan kuat ke arah tiang di hadapan kaunter.

"Pergelutan kecil berlaku dan suspek masih enggan bertenang walaupun diarahkan bertenang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

AKPS berkata, susulan itu pegawai penguat kuasa AKPS segera memanggil Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) untuk mengawal keadaan.

Kenyataan itu berkata, akibat serangan berkenaan, pegawai terbabit mengalami bengkak di sekitar mata kiri, sakit di bahagian kanan kepala dan lenguh badan, sebelum dirujuk ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan dan laporan perubatan.

"Laporan polis sudah dibuat dan suspek kini dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan.

"Wanita warga China berkenaan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam), Seksyen 332 (mencederakan penjawat awam), dan Seksyen 353 (menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam)," katanya.

AKPS menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atas sebarang bentuk kekerasan, penghinaan, atau ancaman terhadap pegawai yang menjalankan tugas dan mengharapkan pihak terbabit dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan