Warga emas didenda RM1,500 kerana pukul jiran dengan penyapu

Buletin TV3 
Tee Guat Poh keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas membayar denda. – Foto NSTP
BATU PAHAT: Seorang wanita warga emas didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memukul jiran dengan penyapu kerana menuduh memancitkan tayar keretanya.

Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu terhadap Tee Guat Poh, 60, selepas mengambil kira rayuan dan hujahan pembelaan serta pendakwaan bagi mensabitkannya dengan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada dua anak itu didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap jiran wanita yang juga berusia 60 tahun di sebuah rumah, Taman Puteri Indah, Tongkang Pechah, di sini, pada jam 7.35 pagi, 26 Ogos lalu.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dan tertuduh berselisih di hadapan rumahnya yang berpunca tuduhan memancitkan tayar keretanya.

Tertuduh kemudian didakwa mengambil penyapu lalu memukul mangsa dan kejadian dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di rumah wanita itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan