Buletin TV3

KUALA LUMPUR: Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan cedera selepas bot ronda mereka dirempuh bot pancung yang disyaki membawa sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) berhampiran sempadan perairan Negeri Sembilan, malam tadi.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut mengesan sebuah bot mencurigakan kira-kira jam 8 malam di kawasan Skim Pemisahan Trafik (TSS) yang dipercayai menuju ke perairan Tanjung Rhu, Sepang.
“Susulan itu, aset bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Patkor Optima telah diatur gerak bagi memintas bot berkenaan.
“Namun, menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot pancung dilengkapi tiga enjin berkuasa tinggi itu bertindak agresif apabila dikejar, malah merempuh sisi kiri bot operasi sehingga mengalami kerosakan teruk sebelum berjaya meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam insiden itu, seorang anggota cedera di bahagian atas hidung, manakala seorang lagi cedera di kaki dan tangan akibat hentakan. Kedua-duanya dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.
Salehuddin berkata, bot yang membawa PATI itu dipercayai berpatah balik dan keluar dari perairan Malaysia selepas gagal melakukan pendaratan.
Operasi pengesanan serta tindakan khas sedang giat dilaksanakan bagi menjejaki suspek dan rangkaian penyeludupan yang terlibat.
“Maritim Malaysia memandang serius cubaan penyeludupan manusia melalui laluan laut kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan negara, malah turut membahayakan nyawa PATI serta anggota penguat kuasa.
“Insiden ini sekali lagi membuktikan bahawa tugas sebagai anggota penguat kuasa maritim berisiko tinggi, kerana sentiasa berhadapan ancaman secara langsung di laut termasuk dirempuh, malah berdepan kemungkinan kehilangan nyawa ketika menjalankan amanah negara,” katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan atau pendaratan PATI diminta menyalurkannya segera kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau hubungi talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan