‘Awak menteri atau tak, saya akan ambil tindakan’

Shakira Buang
story-image
Bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad menuntut ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani menarik balik tuduhan bahawa dia menipu berhubung isu pembangunan Kampung Baru dan Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

“Saya nak minta tarik balik kenyataan saya menipu. 

“Selain itu, saya tidak ada pilihan, sama ada awak menteri atau tidak, saya akan ambil tindakan,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Khalid, dia tidak pernah mencampuradukkan isu pembangunan Kampung Baru dengan Kampung Sungai Baru sebagaimana yang didakwa menteri perladangan dan komoditi itu.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi meminta Johari yang juga dilantik mengetuai Pasukan Khas Umno bagi penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB), untuk menguruskan isu Kampung Sungai Baru.

Baru-baru ini tular kembali video lama Johari yang mendakwa Khalid mengelirukan rakyat dalam penjelasannya mengenai pembangunan semula kawasan Kampung Sungai Baru.

Video itu dipercayai dirakam pada 2022, ketika BN dan PH masih belum bersama dalam kerajaan.

Dalam video berkenaan, Johari mendakwa Khalid ketika menjawat Menteri Wilayah Persekutuan di zaman PH, “putar cerita” dalam isu pembangunan di kawasan itu.

“Video dia (Johari Ghani) banyak dimainkan, yang mana dia kata masalahnya bila dia tak jadi ahli Parlimen, Khalid Samad tak halang pemaju ini untuk memindahkan penduduk ke Kerinchi dan sebagainya. Tetapi bila dia jadi ahli Parlimen, dia telah berusaha untuk menghalang. Ini yang dia cakap.

“Saya nak cakap, sama ada dia atau tidak, kalau dia ambil berat tentang penduduk dan rakyat dia, tentang kawasan Kampung Baru ini dan dia nampak perkara itu tidak baik dia seharusnya bersuara, walaupun dia bukan ahli Parlimen.

“Keduanya, bila dia dah kata pemaju cap ayam makanya kita faham bahawa dia tak bantah pembangunan. Hanya dia rasa pemaju itu tak mampu, kewangannya tak kuat. Tetapi sekarang ini terbukti bantahan itu meleset kerana pemaju dah lunaskan dan bayar pampasan semua,” katanya lagi.

Sementara itu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah berkata, dia bersedia berdebat dengan bekas menteri wilayah persekutuan terdahulu dan Johari dalam isu melibatkan Kampung Sungai Baru.

Khalid berkata, tawaran tersebut dibuat dengan bersyarat bagi memastikan sesi debat dilaksanakan dalam suasana terkawal dan adil.

"Saya bersedia berdebat dengan bekas Menteri Wilayah Persekutuan termasuk Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Dan panggil Johari Ghani sekali sebab ini kawasan dia, saya nak tahu semua benda yang dibuat.

"Debat boleh dilakukan di mana saja. Namun, debat perlu dilakukan secara langsung dan moderator perlu seorang yang adil, "tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan