Dua budak lelaki curi bungkusan tular selepas dirakam CCTV

Samadi Ahmad
Dua kanak-kanak menaiki motosikal aktif mencuri parcel penduduk taman – Foto ihsan CCTV penduduk
KAJANG: Dua kanak-kanak lelaki dipercayai berusia belasan tahun dikesan aktif mencuri bungkusan (parcel) milik penduduk di sebuah taman perumahan di sini.

Aksi mereka yang menunggang motosikal sebelum berhenti di hadapan rumah dan mengambil parcel penduduk terbongkar selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial.

Terdahulu viral di Facebook (FB) sebuah taman perumahan menyatakan barangan milik penduduk hilang.

Beberapa penduduk mendakwa barangan yang dipesan sering hilang secara misteri, namun selepas menyemak rakaman CCTV, rupa-rupanya dua kanak-kanak itu menjadi dalang.

Kejadian itu sudah berlarutan sejak beberapa minggu lalu, menyebabkan ramai penghuni bimbang menerima bungkusan di rumah.

Pengguna FB, Mohd Shazrin Mat Radzi berkata, dia kehilangan dua parcel dan selepas membuat pemeriksaan di CCTV mendapati perbuatan itu dilakukan oleh dua kanak-kanak.

Katanya, dia membuat laporan polis hari ini.

Seorang lagi penduduk, Siti Nur Audauwiyah berkata, penduduk meminta parcel yang dihantar dicampak ke dalam kawasan rumah.

Jelasnya, ibu bapa juga disaran memantau aktiviti anak masing-masing.

Seorang lagi mangsa, Roza Ariffin berkata, dia kehilangan parcel yang dipesan semalam.

Ujarnya, barangan makanan tambahan yang dibeli sangat mahal dan dijumpai dibuang di jalan.

Difahamkan, kejadian itu sudah dimaklumkan kepada pihak pengawal keselamatan taman untuk tindakan lanjut selain cadangan agar kawalan keluar masuk dipertingkatkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan