Hutang telefon bimbit punca warga Pakistan dibunuh

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
SUSPEK utama (kiri) bersama rakannya ditahan selepas disyaki terbabit kes pembunuhan seorang peniaga warga Pakistan di Keningau, pada 20 September lalu. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK utama (kiri) bersama rakannya ditahan selepas disyaki terbabit kes pembunuhan seorang peniaga warga Pakistan di Keningau, pada 20 September lalu. FOTO Ihsan PDRM
Keningau: Tuntut bayaran ansuran telefon bimbit dipercayai punca peniaga warga Pakistan dibunuh sebelum mayatnya ditanam di Kampung Kitung, Jalan Keningau, di sini, dalam kejadian pada 20 September lalu.

Motif pembunuhan berkenaan terbongkar apabila polis menahan dua lelaki warga Filipina termasuk suspek utama.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, suspek utama berusia 33 tahun ditahan di Kampung Sayur, Jalan Durok kira-kira jam 9 malam kelmarin.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku membunuh mangsa seorang diri kerana tidak tahan terus didesak supaya melunaskan hutang ansuran telefon bimbit sehingga mencetuskan pertengkaran.

"Baki hutang ansuran bulanan telefon bimbit suspek hanya RM50, namun dia gagal membuat bayaran selama empat bulan berturut-turut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, soal siasat ke atas suspek pertama membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga Filipina berusia 37 tahun di Kampung Kilang Bata, Jalan Keningau-Tenom, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

"Suspek kedua tidak mengaku terbabit dalam pembunuhan, sebaliknya hanya membantu mengangkat mayat mangsa ke dalam lubang digali suspek utaa dan menyuluh kawasan menggunakan telefon bimbit," katanya.

Katanya, kedua-duanya direman sehingga 3 Oktober depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, mangsa berusia 30 tahun dipercayai dibunuh oleh suspek sebelum ditemui pada 23 September lalu.

Mayat mangsa ditemui ditanam kira-kira 100 meter dari rumah suspek yang bekerja sebagai penjaga kebun getah dan tinggal bersama tiga anaknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan