Kedah: Isteri dengar lelaki jerit ‘tolong ada orang kena tikam’

Buletin TV3 

Zuliaty Zulkiffli

GUAR CHEMPEDAK: “Saya terkejut dengar isteri menjerit…‘Abang, ada orang kena tikam’ dan kejadian berlaku kira-kira 20 meter di hadapan rumah kami.

“Saya suruh isteri masuk ke dalam rumah dan ketika itu ternampak seorang lelaki rebah di atas jalan dan seorang individu beredar dari situ dengan menaiki sebuah kereta,” kata seorang penduduk di Taman Nona di sini.

Katanya, kejadian berlaku sekitar jam 9 malam ketika dia bersama isteri dan lima anaknya membeli barangan keperluan baru sampai di rumah.

Sebaik melangkah masuk ke dalam rumah, dia terdengar isterinya memintanya keluar selepas melihat ada orang bergelut sebelum seorang lelaki menjerit meminta tolong tidak jauh dari rumah mereka.

“Isteri dengar lelaki itu menjerit ‘Tolong, ada orang kena tikam’ …Dan saya terus keluar sebelum meminta isteri masuk ke dalam rumah kerana bimbang suspek serang kami pula.

“Isteri suruh saya telefon polis dan ambulans, sebaik keluar rumah, saya ternampak seorang lelaki rebah dipercayai ditikam selepas bergelut dengan seseorang.

“Saya hanya tengok dari jauh dan nampak ada sebuah kereta keluar dari lokasi itu sebelum nampak seorang lelaki rebah di atas jalan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, awal pagi tadi.

Tambahnya, dia kemudian pergi ke lokasi kejadian dan mendapati lelaki terbabit sudah tidak bergerak. Dia juga mendakwa tidak mengenali lelaki dan wanita itu malah tidak pernah melihat mereka sebelum ini.

“Saya pergi ke kereta Proton Wira itu yang diparkir di hadapan sebuah rumah penduduk di situ dan terkejut sebaik mendapati ada seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah di tempat duduk penumpang hadapan.

“Memang terkejut jugaklah kerana kejadian berlaku tidak jauh dari rumah dan jaraknya hanya 20 meter.

“Keadaan wanita itu mengiring ke sebelah tempat duduk pemandu tetapi saya tak nampak dengan jelas kecederaan kerana hanya tengok dari luar dan ketika itu hujan lebat,” katanya.

Penduduk terbabit berkata, dia tinggal di situ sejak dua tahun lalu selepas taman perumahan itu baru dibuka.

Katanya, dia dan isterinya tidak nampak wajah pelaku (suspek), tetapi isterinya hanya nampak ada dua orang bergelut sebelum salah seorang daripadanya menjerit meminta tolong.

Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati, pegawai dan anggota dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah serta Unit Anjing Pengesan (K-9) turut berada di lokasi untuk melakukan siasatan sejak malam sehingga awal pagi tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan