Kelantan dihimpit wabak TB, 35 sudah terkorban, ini senarai golongan berisiko

Harapandaily

Kelantan dihimpit wabak penyakit Tuberkulosis (TB) serius dengan 636 kes dan 35 kematian antara Januari hingga Julai tahun ini.

Ini bermakna kadar kematian akibat penyakit yang menyerang paru-paru itu adalah sekitar 5.5 peratus daripada kes yang dilaporkan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, Kota Bharu kekal di tangga teratas dengan 178 kes, diikuti Pasir Mas (80) dan Tumpat (75).

“Sehingga Julai 2025, sebanyak 14 wabak TB dikesan melibatkan tujuh daerah, dengan Kota Bharu merekodkan bilangan wabak tertinggi.

“Kebanyakan wabak melibatkan isi rumah, dengan purata dua kes dalam kalangan kontak rapat kepada kes indeks,” katanya menerusi satu kenyataan.

Zaini berkata, golongan berisiko di Kelantan kebanyakannya warga emas berusia 65 tahun ke atas, berbangsa Melayu serta mempunyai penyakit bersama seperti diabetes dan tabiat merokok.

Sehubungan itu, ujarnya, JKNK melaksanakan pelbagai langkah bagi membendung penularan.

Antaranya, promosi kesedaran mengenai pencegahan, pemeriksaan segera kepada individu yang mengalami gejala batuk berpanjangan serta saringan golongan berisiko tinggi menggunakan teknologi diagnostik terkini.

“Pemantauan rawatan turut diperkukuh bagi memastikan pesakit mematuhi terapi di samping meningkatkan kapasiti petugas kesihatan dalam pengurusan TB yang berkesan,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang 2024, sebanyak 1,049 kes dicatatkan dengan 99 kematian.

Untuk rekod, penyakit TB berjangkit melalui udara atau titisan pernafasan apabila pesakit batuk, bersin, bercakap, atau menyanyi.

Bakteria boleh melayang dalam udara (droplet nuclei) dan terhidu oleh orang lain.

Bagaimanapun, ia tidak berjangkit melalui sentuhan, makanan, air, atau perkongsian pakaian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan