Hidayatidayu Razali
KOTA BHARU: Polis menahan semula seorang lelaki yang cuba melarikan diri selepas Mahkamah Tinggi di sini menolak rayuannya dan mengekalkan hukuman penjara 24 bulan serta tiga sebatan atas kesalahan dadah, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, lelaki berusia 30-an itu berada dalam jaminan mahkamah ketika cuba melarikan diri sebaik hukuman diumumkan kira-kira jam 11 pagi.
Beliau berkata, pihaknya mengesan video tular di TikTok memaparkan lelaki berkenaan yang melarikan diri dari Kompleks Mahkamah Kota Bharu.
“Ketika diiring anggota ke sel lokap, orang kena tuduh (OKT) tiba-tiba bertindak melarikan diri, namun berjaya ditangkap semula dengan segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Rosdi menegaskan status banduan yang dikaitkan dengan lelaki itu seperti ditularkan adalah tidak benar.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati berkongsi atau memuat naik sebarang kandungan di media sosial yang boleh mencetuskan kekeliruan dan menggugat ketenteraman awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan