Kerjasama Pas-Bersatu berisiko terburai

Harapandaily

Kelulusan usul menamakan Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri oleh Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu dan tuntutan supaya Pas mengambil alih teraju Perikatan Nasional (PN) menimbulkan polemik besar antara dua parti pembangkang itu.

Penganalisis, Dr Yusri Ibrahim berpendapat, kem dalam Pas yang menentang penubuhan PN sebelum ini berkemungkinan besar Menyusun agenda bagi memisahkan Pas daripada Bersatu.

“Walau apapun tujuan, jika perkembangan ini gagal diurus dengan baik oleh kedua-dua pihak, kerjasama Pas-Bersatu berisiko terburai.

“Apatah lagi ada figura kepimpinan yang dilihat pro MN dan kurang mesra penubuhan PN sebelum ini kembali ke dalam Jawatan Kuasa Kerja Pas Pusat pasca muktamar tempoh hari,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, jentera dan penyokong Pas dijangka tidak bekerja sepenuhnya untuk memenangkan calon PN dari Bersatu atau ada yang bekerja untuk memastikan calon Bersatu tewas.

Pensyarah Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata demikian hasil pemerhatian lapangannya semasa PRU15.

Menurutnya, jentera pilihan raya Pas tidak bekerja untuk memastikan kemenangan Datuk Seri Azmin Ali di Parlimen Gombak.

“Kes hampir sama saya jumpa dalam pemerhatian lapangan PRN 2023 di Pulau Pinang, kerusi Bayan Lepas yang ditandingi Datuk Dominic Lau.

“Berdasarkan gelombang hijau yang sedang memuncak pada waktu itu, kerusi tersebut sebenarnya dalam radar kemenangan kepada PN.

“Namun, apabila perang besar berlaku antara Pas dan Gerakan untuk merebut kerusi tersebut, jentera dan penyokong PAS tidak bekerja sepenuhnya untuk menangkan PN.

“Atau dengan kata lain, ada yang bekerja untuk kalahkan Dominic Lau. Akhirnya, Datuk Dominic Lau kalah dengan 1,000 lebih majoriti,” kata Dr Yusri lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan