Lari selepas kelar leher rakan serumah, suspek kemudian kemalangan

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
LOKASI kejadian seorang lelaki mengelar leher rakan serumahnya di Taman Rasah Jaya, di sini, petang kelmarin. FOTO ihsan polis
LOKASI kejadian seorang lelaki mengelar leher rakan serumahnya di Taman Rasah Jaya, di sini, petang kelmarin. FOTO ihsan polis
Seremban: Akibat perselisihan faham, seorang lelaki mengelar leher rakan serumahnya di Taman Rasah Jaya, di sini, petang kelmarin, sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan pada jam 6.24 petang.

"Individu itu membuat laporan polis mengatakan menjumpai seorang lelaki berusia 31 tahun dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat kesan kelar di leher.

"Kejadian berlaku di sebuah rumah Taman Rasah Jaya. Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat dan siasatan yang dijalankan, polis menahan seorang lelaki awal pagi tadi di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

"Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seremban membuat tangkapan terhadap rakan serumah mangsa berusia 23 tahun yang menjadi suspek utama dalam kes ini.

"Suspek dikatakan melarikan diri selepas kejadian dan dikatakan terbabit dengan kemalangan sebelum dibawa ke hospital berkenaan untuk menerima rawatan," katanya.

Mohamad Hatta berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut, namun punca kejadian dipercayai disebabkan selisih faham.

"Permohonan reman terhadap suspek juga dibuat di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini dan dibenarkan selama lima hari bermula hari ini sehingga 11 September depan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Mangsa masih lagi dirawat di HTJ.

"Orang ramai yang melihat kejadian ini diminta tampil untuk memberikan keterangan di mana-mana balai polis yang berhampiran dan dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi berkaitan insiden," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan