Lelaki Pakistan dibunuh, mayat ditanam di kebun getah

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
POLIS menemui mayat kawasan kebun getah di Kampung Kitung. FOTO Ihsan PDRM.
POLIS menemui mayat kawasan kebun getah di Kampung Kitung. FOTO Ihsan PDRM.
Keningau: Misteri kehilangan seorang lelaki warga Pakistan sejak Sabtu lalu terjawab selepas mayatnya ditemui ditanam di kawasan kebun getah di Kampung Kitung, di sini, semalam.

Mangsa, Abdul Hafiz, 30, bekerja sebagai peniaga ditemui dalam keadaan masih berpakaian lengkap bersama kasut dengan kesan kecederaan di belakang kepala dan telinga kanan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dilaporkan hilang sejak 20 September lalu, selepas keluar berurusan di Kampung Meninipir dengan menunggang sebuah motosikal Yamaha LC.

"Pada hari sama, pengadu yang juga rakan mangsa gagal menghubunginya. Keesokan harinya, pengadu menerima mesej berserta gambar lokasi terakhir mangsa di Jalan Mangkalias, Tenom.

"Polis yang menjalankan pencarian kemudian menemui sebuah telefon bimbit milik mangsa di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, usaha mencari diteruskan sehingga semalam di Kampung Kitung, di sini dengan bantuan rakan-rakan pengadu.

"Mereka kemudian menemui beberapa barang dipercayai milik mangsa termasuk pakaian, motosikal, sebilah parang dan timbunan tanah baharu berhampiran rumah pekerja kebun getah.

"Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan Unit Forensik menggali timbunan tanah berkenaan dan menemui mayat mangsa yang ditanam kira-kira 100 meter dari rumah pekerja ladang," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek utama ialah seorang lelaki warganegara Filipina berusia 32 tahun yang bekerja sebagai penjaga kebun getah di lokasi terbabit.

"Suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

"Setakat ini motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya.

Yampil berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Keningau sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan