'Malangnya, Najib seorang yang tidak jujur'

Farah Solhi

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas perdana menteri Najib Razak adalah seorang yang tidak jujur dan kerap menuding jari kepada pihak lain berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Peguam syarikat itu, Lim Chee Wee, berkata demikian di hadapan hakim Ahmad Fairuz Zainal Abidin dalam kes saman berjumlah AS$1.18 bilion terhadap Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif syarikat tersebut, Nik Faisal Ariff Kamil.

“Malangnya, Najib seorang yang tidak jujur. Walaupun beliau percaya wang SRC berjumlah RM42 juta telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya, beliau tidak memaklumkan perkara itu kepada kabinet,” katanya.

Dia menambah, SRC tidak boleh dijadikan kambing hitam bagi urusan pinjaman dan kelulusan pinjaman jangka pendek kerana perkara itu berada di bawah bidang kuasa serta kuasa kelulusan Najib sendiri, bukannya syarikat tersebut.

Lim juga berhujah bahawa alasan Najib, ketika menjadi perdana menteri, terlalu sibuk untuk mengambil tahu soal ketelitian (due diligence) dan butiran lain adalah tidak berasas.

Menurutnya, Najib yang dianggap plaintif sebagai “pengarah bayangan” syarikat, menunjukkan kecenderungan berterusan untuk mengelak proses ketelitian, sekali gus mencipta keadaan yang membolehkan penipuan SRC berlaku dan berakar.

“Apa yang lebih berkemungkinan ialah Najib sedar bahawa proses ketelitian tidak dijalankan secukupnya, tetapi tidak peduli untuk mengarahkannya dilakukan kerana ia hanya akan menyukarkan penyelewengan dana yang akhirnya dilakukan,” katanya.

SRC, yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), ditubuhkan pada 2011 sebagai anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi melaksanakan pelaburan strategik dalam sektor tenaga konvensional dan tenaga boleh diperbaharui.

Saman itu difailkan pada 2021, dengan SRC memohon mahkamah mengisytiharkan Najib dan Nik Faisal bertanggungjawab atas pelanggaran tugas fidusiari serta amanah secara penipuan.

Mahkamah turut membenarkan Najib menamakan bekas ahli lembaga pengarah sebagai pihak ketiga dalam saman itu iaitu Ismee Ismail, Suboh Md Yassin, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Rashidi Che Omar.

Saman tersebut turut melibatkan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang diberikan kepada SRC pada 2011 dan 2012.

SRC juga menuntut ganti rugi dalam bentuk ekuiti serta bayaran semula AS$1.18 bilion, yang merupakan kerugian daripada dana pelaburan yang dicadangkan, atau kerugian peluang penggunaan dana tersebut, untuk ditentukan oleh mahkamah.

Selain itu, syarikat berkenaan menuntut ganti rugi bagi pelanggaran tugas fidusiari statutori dan undang-undang biasa yang dipikul defendan, pelanggaran amanah, konspirasi, serta ganti rugi am, teladan dan teruk termasuk faedah lima peratus setahun.

SRC turut menuntut kos guaman dan sebarang relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Syarikat itu menuntut Najib membayar AS$120 juta kerana menerima wang haram melalui beberapa perantara, selain ganti rugi atas salah laku (misfeasance) dan penyalahgunaan kuasa.

Najib, 72, yang juga bekas ahli parlimen Pekan kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah atas kesalahan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Ahmad Fairuz bersambung esok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan