Ambil dadah berhibur di Dannok, pelajar tingkatan 6 ditahan AADK
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

KHAIRUL Anwar (kanan) ketika menyoal pelajar tingkatan enam dan ibu tunggal yang ditahan selepas positif dadah di Kompleks ICQS. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Bukit Kayu Hitam: Pelajar perempuan tingkatan enam sebuah sekolah menengah di Jitra ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah selepas didapati positif dadah.
Remaja perempuan berusia 19 tahun itu ditahan ketika pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini hari ini.
Dia dipercayai pulang daripada bercuti di Dannok, Thailand bersama teman lelakinya berusia 25 tahun.
Remaja itu memberi alasan ke Thailand untuk sempena cuti Hari Kemerdekaan, semalam dan mereka menunggang motosikal melalui sempadan darat.
Ketika ditemui di Pejabat AADK Bukit Kayu Hitam, remaja itu berkata, dia sepatutnya bersekolah hari ini dan tiba di kompleks ICQS pada 6 pagi, namun 'tersangkut' dengan pemeriksaan air kencing.
"Saya ikut teman lelaki kerana bimbang dia bawa wanita lain dan mengambil pil ekstasi di sana untuk berhibur sahaja," katanya yang memaklumkan ibu bapanya tahu dia bercuti ke Thailand.
Sementara itu, ibu tunggal berusia 30 tahun dari Pokok Sena turun ditahan bersama teman lelakinya, 25, kerana turut mengambil pil ekstasi ketika berhibur di selatan Thailand itu.
Sementara itu, Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, seramai 31 individu menjalani ujian saringan air kencing dalam operasi 'Ops Merdeka 2025' yang dilaksana bermula 3 petang semalam sehingga 1 tengah hari tadi.
Katanya, daripada jumlah itu, 23 orang berusia 18 hingga 40 tahun positif dadah, iaitu 21 lelaki dan dua wanita, dengan kebanyakannya adalah pengguna kali pertama yang mencuba di tempat hiburan untuk berseronok.
"Tujuan operasi untuk membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di pintu sempadan negara, memperkukuhkan risikan dan mewujudkan profiling berkaitan aktiviti penagihan, pengedaran dan penyeludupan dadah di pintu sempadan negara.
"Operasi disertai 15 anggota dan turut disertai anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS)," katanya.
Menurutnya, siasatan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan