Pas mahu jadi nakhoda kapal PN, Bersatu bersedia diperbudak?

MSO 

Rasa kurang senang hati Pas kepada Bersatu semakin jelas dan nyata seperti mana yang diperkatakan sebelum ini.

Ia terdedah luas hari ini apabila Dewan Pemuda Pas telah membentangkan usul untuk “merampas kekuasan” dari Bersatu untuk mengepalai Perikatan Nasional (PN).

Usul itu disokong Pas Kawasan Shah Alam yang mengariskan beberapa ciri kewajaran Pas memimpin PN.

Sambil menegaskan bahawa Pas tidak hanya menjadi penumpang kapal, tetapi harus menjadi nakhoda kapal untuk memimpin PN.

Antara kewajaran itu menurut Pas Kawasan Shah Alam, Pas merupakan parti terbesar dengan 42 orang ahli Parlimen, berjaya mentadbir empat buah negeri, dan Pas juga parti yang stabil berbanding dengan parti dalam PN yang lain.

Usul itu dibahas oleh Pas Dungun yang menyokong penuh. Dan selepas diundi semua perwakilan telah menyatakan persetujuan sepenuh hati. Bermakna Pas tidak menghiraukan dan mempercayai kepada Bersatu lagi untuk memimpin PN.

Walaupun ada seorang perwakilan dari Johor (foto) bangun untuk memberi sedikit penjelasan dipercayai meragui akan kebijaksanaan usul berkenaan, tetapi wakil itu tidak dibenarkan pengerusi cikgu Hussein atas alasan ia sudah diputuskan, diundi.

Wajah Pas sebenar

Apakah Bersatu bersedia menerima usul berkenaan? Apakah ia tidak akan dilihat inilah rupa dan wajah Pas sebenar sebagai rakan yang sering mengkhianti kawan ditengah jalan.

Walaupun alasan diberikan Pas itu wajar, tetapi itulah sikap ataupun pendirian Pas yang berlaku beberapa kali sebelum ini. Ia juga berlaku ketika bersama Semangat 46, DAP, dan juga Umno.

Pas akan memusing balik atau reverse bila-bila masa tanpa mengira keadaan, ini keberanian Pas yang sukar difahami, malahan disangsikan.

Sekiranya Pas bertegas juga melaksanakan usul berkenaan ini menyebabkan Bersatu juga akan membuat perhitungan baharu, kecuali Bersatu akur dengan apa yang dihujahkan itu.

Kenyataan daripada Bersatu sebagai merespon usul daripada Pas itu kita tunggu penuh debaran.

Apakah Bersatu bersedia diperbudakkan Pas atau pun parti itu akan membuat perkiraan baru?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan