Tidak puas hati isu harta keluarga, bapa maut ditikam anak
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

SUSPEK (duduk kiri) berusia 24 tahun yang menikam bapanya di sebuah pangsapuri di Bandar Permaisuri, Cheras ditahan. FOTO Ihsan PDRM
Kuala Lumpur: Seorang lelaki tergamak menikam bapanya sehingga maut angkara harta keluarga dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Permaisuri, Cheras di sini, awal pagi ini.
Mangsa berusia 62 tahun itu ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Superintendan Ridzuan Khalid berkata, polis menerima laporan kejadian pada 3.01 pagi.
"Sepasukan polis yang ke lokasi kejadian menemui mayat mangsa dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumah berkenaan.
"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun yang juga penganggur bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 19 September ini bagi siasatan lanjut. Berdasarkan siasatan awal, suspek tidak puas hati isu harta keluarga," katanya.
Namun, katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/5051 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan