Malaysiakini
Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-71 sebulat suara menyokong usul untuk mengambil alih pentadbiran Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang akan datang.
Usul yang dibentangkan oleh wakil Dewan Pemuda PAS Pusat, Muhammad Faizudin Mohd Zai, disokong oleh wakil PAS Shah Alam Mohamed Sukri Omar, yang juga Ketua Pemuda PAS Selangor.
"Saya bawa usul yang terpenting bagi kita yang hadir ke Kedah dari seluruh negara pada hari ini.
"Kita telah bincangkan isu sosial, isu ekonomi dan kita bincang bagaimana nak selamatkan negara kita. Tetapi, para hadirin jangan lupa ada satu perkara yang mesti kita selamatkan sebelum kita masuk ke PRU16.
"Rakyat sedang menunggu untuk kita rampas kepimpinan PN, dan memimpin PN bangkit mengangkat perjuangan PN ini, memimpin rakyat dan menghancurkan PH dan segelintir pemimpin-pemimpin Umno yang sedang berada di Putrajaya," kata Faizudin dalam ucapan di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar, Kedah.
Namun, Faizudin kemudian memperbetulkan perkataan “rampas PN” kepada “memperkasakan PN” seperti diminta Pengerusi Tetap Husin Ismail yang juga merupakan pengerusi majlis Muktamar PAS.
Dia turut mendakwa PN hari ini lembap dan tidak ada hala tuju.
"Hari ini orang melihat PN lemau, tepu, tiada hala tuju yang jelas, dan hilang fokus.
"Bermuktamar kita pada hari ini, untuk memberikan nafas baru, bahawa kita sedia pimpin negara pada masa akan datang," katanya lagi.
Mengulas lanjut, Faizudin berkata PAS tidak boleh lagi bertindak sebagai parti di belakang tadbir.
"Sudah tiba masanya, PAS ini bukan berada di belakang mentadbir, bukan sekadar berada di tepi jalanan, tapi kita memimpin PN ke tahap yang lebih baik," katanya.
Faizudin seterusnya menyifatkan kerajaan Madani sebagai gagal dalam menguruskan ekonomi negara.
"Rakyat kecewa kegagalan sistem ekonomi kerajaan Madani yang ada dan mereka juga kecewa penipuan politik pemimpin negara.
"Kita tak tahu sama ada skandal politik yang sedang melanda negara sekarang ini lebih dahsyat daripada skandal-skandal sebelum ini, kita tak tahu apa yang berlaku kepada PDRM, SPRM dan pihak penguat kuasa yang ada di negara ini.
"Rakyat sedang kecewa, dan mengharapkan ahli parlimen PAS ke Putrajaya memimpin negara," katanya.
Menurutnya, model Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051) yang dicetuskan oleh PAS akan dilaksanakan sekiranya PN mengambil alih Putrajaya.
"WINS 2051 penubuhan PAS sedang membuahkan hasilnya, sebagai model Islam terbaik di dunia.
"Insyaallah pemimpin yang terbaik yang berada di atas inilah yang akan memimpin kita untuk masuk ke Putrajaya," katanya.
WINS 2051 diperkenalkan sebagai panduan asas untuk mentadbir sebuah negara berdasarkan prinsip-prinsip Islam dalam realiti moden untuk membentuk dan membina sebuah negara yang sejahtera menjelang 2051.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan