Perlis: Pembantu kebajikan masyarakat didakwa amang seksual remaja

Bernama

KANGAR: Seorang pembantu kebajikan masyarakat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas Sembilan tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja bawah umur tahun lepas.

Muhammad Zamir Abdul Wahab, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid selepas tuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun tujuh bulan di tepi tangga dan di sebuah bilik bersebelahan Pejabat Pembantu Kebajikan Masyarakat, kuarters rumah kanak-kanak di Perlis antara November dan Disember tahun lepas.

Tuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 14(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua tuduhan, beserta syarat tambahan, iaitu tidak boleh mendekati mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada 1 haribulan setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad, manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Syuhada Mohd Yusof dan Lizawati Salamon.

Mahkamah menetapkan 9 Okt depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan