‘Raja ganja’ Thailand angkat sumpah sebagai Perdana Menteri

Harapandaily
Digelar ‘Raja ganja’ Thailand kerana terlibat sebagai perancang utama dasar membenarkan kanabis dikomersilkan pada 2022, Anutin Charnvirakul, secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri hari ini.

Hartawan pembinaan terkenal berkenaan pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kesihatan.

Pelantikan Anutin yang bakal berusia 59 tahun pada 13 September itu sekali gus menyingkirkan dinasti Shinawatra yang menerajui Parti Pheu Thai.

Media tempatan melaporkan Anutin menerima titah diraja yang melantiknya sebagai Perdana Menteri Thailand ke-32, sambil berikrar di hadapan potret diraja untuk berkhidmat dengan penuh kejujuran, integriti, dan moral.

Dalam upacara tersebut, Anutin menyampaikan ucapan penghargaan di hadapan potret Raja Rama X dengan menzahirkan rasa terima kasih mendalam atas kemurahan hati diraja.

Upacara itu turut dihadiri oleh ahli keluarga Anutin, termasuk bapanya Chavarat Charnvirakul, ibunya Tasanee Charnvirakul, anaknya Seranee Charnvirakul, serta isterinya Thananont Niramith.

Turut hadir ialah pemimpin kanan Parti Bhumjaithai, ahli parlimen, serta sekutu politik daripada parti gabungan seperti Klatham, Palang Pracharath, dan “Kumpulan 16” yang diketuai oleh Suchart Chomklin, selain ahli parlimen Pheu Thai yang diketuai oleh Sakda Wichiansilp.

Sementara itu, Business Standard melaporkan ribuan pemilik kedai ganja, penanam serta pihak berkepentingan lain melihat pertimbangan untuk mengklasifikasikan semula ganja sebagai narkotik akan reda susulan kedudukan Anutin dan Parti Bhumjaithai yang kini berada di pucuk pimpinan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan