Buletin TV3
Abdul Rahemang Taiming

Tertuduh dipenjara 20 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. Foto NSTP
TAWAU: Seorang nelayan dipenjara 20 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang juga adik iparnya, tahun lalu.
Hukuman itu diputuskan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas tertuduh yang berusia 31 tahun itu, menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding yang sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan penuh hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Semporna, antara jam 10 malam hingga 4 pagi, pada 27 hingga 28 November tahun lalu.
Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(d) yang boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hukuman sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu, bapa kepada tiga orang anak dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan sudah bertaubat selain menjadi penanggung tunggal keluarga termasuk isteri yang sedang hamil.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin dalam hujahnya memohon hukuman penjara dan sebatan maksimum dikenakan ke atas tertuduh mengambil kira tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan.
“Ia pengkhianatan kepada hubungan kekeluargaan. Kesan trauma mendalam yang dialami mangsa akibat meninggalkan kesan psikologi berpanjangan yang menghantui sepanjang hayatnya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan