SPRM: Ceroboh hutan simpan tanam durian Musang King, pekebun disyaki terbabit pengubahan wang haram

Fazli Ahmad
am@hmetro.com.my
EMPAT pekebun durian Musang King antara lima ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti pengubahan wang haram. FOTO Ihsan SPRM
EMPAT pekebun durian Musang King antara lima ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti pengubahan wang haram. FOTO Ihsan SPRM
Kuantan: Empat pekebun durian Musang King dan seorang pekerja direman empat hari bagi membantu siasatan kerana disyaki terbabit aktiviti pengubahan wang haram mencecah ratusan ribu ringgit.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi, hingga 3 Oktober, selepas meneliti permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikemukakan di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini.

Menurut sumber, semua suspek lelaki terbabit berusia antara 40 dan 60 tahun ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Raub, antara jam 12 tengah hari dan 3 petang, semalam.

Katanya, mereka disyaki terbabit amalan pengubahan wang haram antara 2024 dan 2025.

"Mereka dipercayai memperoleh, menerima, memiliki, memindah dan menggunakan wang daripada aktiviti hasil tanaman pokok durian di tanah berstatus Hutan Simpan dan Tanah Kerajaan di Raub.

"Suspek dipercayai meraih keuntungan mencecah ratusan ribu ringgit menetusi aktiviti itu.

"Pekebun terbabit juga sudah melakukan urus niaga haram itu secara turun temurun dan enggan menyertai program pemutihan ditawarkan Kerajaan Pahang," katanya.

Sumber berkata, susulan keengganan pekebun terbabit Kerajaan Pahang melancarkan Op Sekat Durian Haram sejak 25 April 2024 serta diikuti operasi bersepadu disertai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan SPRM mulai tiga September lalu.

Menurutnya, hasil operasi itu 33 lokasi kebun durian haram di kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan kekal di Pahang dikesan.

"Hasil siasatan awal, semua suspek ditahan bukan satu kumpulan tetapi mereka bergerak secara bersendirian.

"Sehingga kini tiada rampasan wang tunai dan pembekuan akaun bank suspek dilakukan," katanya.

Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan semua suspek terbabit.

Menurutnya, SPRM tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dilakukan untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 15 tahun dan denda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan