Inkues Zara: Telefon bimbit pengawal keselamatan jadi eksibit baharu

Astro Awani 

Sebuah telefon bimbit milik saksi keenam dalam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, telah didaftarkan sebagai eksibit baharu dengan nombor rujukan 139, menurut Mahkamah Koroner hari ini.

Peranti tersebut dipercayai digunakan oleh saksi semasa menjalankan rondaan di kawasan sekolah dan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, termasuk pada malam kejadian 16 Julai lalu.

Menurut keterangan saksi, rondaan bermula jam 8 malam melibatkan lima titik kawalan termasuk rumah guru dan asrama pelajar, dijalankan setiap dua jam secara bergilir oleh pengawal lelaki.

Setiap sesi rondaan mengambil masa antara 30 minit hingga sejam, dengan catatan dibuat melalui telefon bimbit sebelum dimasukkan ke dalam buku laporan.

“Sepanjang rondaan dijalankan, tiada sebarang pergerakan atau aktiviti mencurigakan direkodkan,” kata saksi ketika disoal peguam keluarga mangsa.

Ketika ditanya sama ada laporan tersebut masih boleh diakses, saksi menyatakan bahawa maklumat berkenaan mungkin masih tersimpan sekiranya tidak dipadamkan.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa gambar yang diambil semasa bertugas lazimnya dipadamkan selepas setiap syif.

Telefon bimbit tersebut gagal dihidupkan semasa prosiding kerana kehabisan bateri, namun telah didaftarkan sebagai eksibit rasmi dan akan dibuka untuk pemeriksaan kandungan sebaik sahaja dicas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan