Buletin TV3
ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki memukul pengawal keselamatan dengan batu bata di sebuah pangsapuri di Gelang Patah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian berlaku sekitar jam 2.59 petang dan menyebabkan mangsa, seorang lelaki warga Nepal, 44, mengalami kecederaan di kepala.
“Siasatan awal mendapati, mangsa yang sedang bertugas ketika itu menahan suspek, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun, yang cuba memasuki kawasan pangsapuri melalui lorong pelawat dengan menunggang motosikal tanpa kad akses.
“Suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa, lalu mengambil seketul batu bata dan mengetuk kepala mangsa sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan laporan yang dibuat, polis berjaya menahan suspek di kawasan Iskandar Puteri pada jam 12.01 tengah malam, semalam.
Menurut Kumarasan, suspek kini direman selama empat hari hingga 4 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sementara itu dalam kes berasingan, Kumarasan memaklumkan pihaknya turut menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kejadian kecurian televisyen di sebuah pasar raya di Mutiara Rini, di sini.
Katanya, laporan mengenai kejadian diterima daripada penyelia keselamatan pasar raya terbabit pada jam 7.59 malam, Rabu lalu.
“Hasil maklumat dan risikan, suspek yang berusia 33 tahun berjaya ditahan di kawasan Tampoi pada jam 12.15 tengah malam, semalam.
“Siasatan awal mendapati suspek mempunyai 10 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.
Tambahnya, suspek kini direman selama empat hari sehingga 4 September untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan