2 beradik dituduh bunuh DJ kelab malam

Mohd Roji Kawi
am@hmetro.com.my
DUA beradik dihadapkan di Mahkamah Majistret Sibu hari ini atas pertuduhan membunuh DJ Kelab Malam di Kapit pada 18 September lalu. FOTO ihsan PDRM
DUA beradik dihadapkan di Mahkamah Majistret Sibu hari ini atas pertuduhan membunuh DJ Kelab Malam di Kapit pada 18 September lalu. FOTO ihsan PDRM
Kuching: Dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sibu hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang pengendali muzik (DJ) pusat hiburan di Kapit, 18 September lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 36 dan 30 tahun selepas pertuduhan dibacakan secara tentatif di hadapan Majistret Oon Kork Chern.

Kork Chern kemudian menetapkan 13 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu di Mahkamah Kapit dan kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pertama yang berusia 36 tahun didakwa membunuh mangsa berusia 33 tahun, manakala adiknya didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu.

Pertuduhan terhadap tertuduh pertama dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, jika tidak dikenakan hukuman mati, serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh kedua pula dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama, kerana bersubahat dalam jenayah itu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 10.30 malam, 18 September lalu di kawasan kaki lima sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Jugah, Kapit.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Haris Danial Mohamed Hassan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan