Berita jam 7:00pm: Kereta terjunam dalam sungai, jumlah mangsa belum diketahui

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Tangkap layar Proton Saga sebelum tenggelam ke dalam Sungai Panchor, petang tadi. Gambar tular
Tangkap layar Proton Saga sebelum tenggelam ke dalam Sungai Panchor, petang tadi. Gambar tular
Muar: "Kami belum pasti lagi berapa orang ada dalam kereta itu," kata Ketua Zon 4, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Norshuhada Amsari mengenai sebuah kereta yang terjunam ke dalam Sungai Panchor, di sini, hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 2.40 petang dengan orang ramai yang menyaksikan insiden itu cuba membantu, namun kereta terbabit tenggelam ke dasar sungai.

Norshuhada berkata, pihaknya belum dapat memastikan berapa ramai yang berada dalam kereta jenis Proton Saga itu berikutan pelbagai versi diterima daripada orang awam.

"Daripada maklumat awal orang awam, mereka nampak kereta itu meluru ke dalam sungai. Pada mulanya kereta itu timbul dan orang awam dengan pantas cuba membantu termasuk memecahkan cermin kereta.

"Namun, tidak lama kemudian, kereta itu tenggelam. Memang ada mangsa dalam kereta itu tapi kita tidak tahu berapa orang," katanya ketika dihubungi.

Katanya, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dihantar ke lokasi untuk kerja-kerja menyelam bagi menentukan kedudukan kereta terbabit.

"Kita sudah pun mengenalpasti kedudukan kereta itu selain terdapat kesan tompokan minyak di sekitarnya," katanya.

Sementara itu, Shuhada berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan pada jam 2.47 petang dan menggerakkan 14 anggota dari BBP Muar dan Pagoh ke lokasi.

Terdahulu, video berdurasi 44 saat yang tular menunjukkan sebuah bot dinaiki dua lelaki dipercayai nelayan cuba menarik kereta yang mula tenggelam ke dalam sungai.

Kejadian itu turut disaksikan penduduk setempat yang berkumpul di kawasan tepi sungai berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan