Bot seludup PATI, dadah rempuh bot Maritim Malaysia

Buletin TV3 

Meor Riduwan Meor Ahmad
Lelaki warga Indonesia yang ditahan selepas merempuh bot Maritim Malaysia di perairan Tanjung Bidara. – Foto ihsan Maritim Malaysia
ALOR GAJAH: Tiga lelaki disyaki cuba menyeludup keluar pendatang dan dadah nekad merempuh bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Tanjung Bidara di sini, awal pagi tadi demi mengelak ditahan.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria, berkata tindakan mereka gagal apabila bot gentian kaca dinaiki terbalik sebelum seorang daripadanya ditangkap.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, suspek dikesan bergerak secara mencurigakan dari Pulau Rupat di Indonesia dan dipercayai ingin memasuki perairan Malaysia sebelum bot mereka dikesan pada kedudukan 2.3 batu nautika barat daya Tanjung Bidara dan dikejar pasukan Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Murni.

“Ketika cuba ditahan untuk pemeriksaan, suspek di atas bot bertindak agresif dan tiba-tiba melanggar bot Maritim Malaysia sebelum hilang kawalan dan terbalik.

“Dua suspek terjun ke laut bagi melarikan diri, manakala seorang lagi ditahan sekitar jam 4.10 pagi,” katanya melalui kenyataan.

Susulan itu Operasi CARILAMAT diaktifkan bagi mengesan dua suspek yang terjun ke laut semasa kejadian.

Salehuddin berkata, siasatan awal bot suspek disyaki menuju Pengkalan Balak bagi mengambil pendatang tanpa izin (PATI) serta bekalan dadah untuk diseludup keluar dari Malaysia.

Suspek ditahan berusia 37 tahun kini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan