Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

KANAK-KANAK dua tahun maut selepas dikatakan dihempap tiang konkrit pagar rumah di Taman Bukit Kristal, di sini, pada Jumaat. FOTO Ihsan Pembaca.
Seremban: Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia selepas dikatakan dihempap tiang konkrit pagar rumah di Taman Bukit Kristal, di sini, pada malam Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira 7.15 malam itu, mangsa dikatakan sedang bermain dengan kakaknya sebelum tiang berkenaan runtuh dan menghempapnya.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia jam 9.14 malam.
"Mangsa dipercayai bermain bersama kakaknya sebelum tiang pagar yang tidak kukuh dikatakan tumbang lalu menghempap mangsa.
"Ibu mangsa segera membawanya ke HTJ, namun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia jam 9.14 malam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, bedah siasat dijalankan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, hari ini mendapati punca kematian adalah kecederaan di kepala akibat hentakan objek berat dan tiada kecederaan lain dikesan.
Justeru beliau berkata, polis menasihatkan orang ramai memastikan struktur binaan di kediaman dipasang dengan selamat bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan