FMT Reporters
PETALING JAYA: Ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memfailkan saman berjumlah RM10 juta terhadap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berhubung dua video di media sosial yang didakwa berunsur fitnah.
Saman itu difailkan pada 10 Okt dengan Farhash mendakwa kenyataan dalam video itu telah mencemarkan reputasinya sebagai seorang ahli perniagaan dan menyebabkan orang ramai memandang negatif terhadapnya, lapor The Edge.
Beliau berkata tuduhan itu turut menggugat kepercayaan pelabur terhadap syarikat yang dikaitkan dengannya.
“Pelabur, rakan industri, rakan kongsi dan kenalan saya hilang keyakinan terhadap saya. Ini menjejaskan peluang perniagaan serta pelaburan masa depan,” katanya.
Farhash turut menyatakan beliau terpaksa berulang kali menjelaskan perkara itu bagi membersihkan nama dan reputasinya, selain berdepan rasa malu serta tercalar maruah diri dan profesional akibat kenyataan Rafizi.
Video pertama dipertikaikan dimuat naik Rafizi pada 25 Julai, selepas timbul dakwaan kononnya Farhash terbabit dalam salah laku berkaitan penerokaan mineral di Sabah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudiannya mengisytiharkan Farhash bebas daripada tuduhan terbabit.
Video kedua pula dimuat naik pada 20 Ogos, apabila Rafizi mendakwa serangan jarum suntikan terhadap anaknya berlaku seminggu selepas beliau bertemu pemberi maklumat berkaitan skandal yang didakwa melibatkan Farhash dan syarikatnya.
Farhash sebelum ini menuntut Rafizi membuat permohonan maaf berhubung video kedua, namun Rafizi menyatakan beliau bersedia mempertahankan kenyataannya di mahkamah.
Farhash kini pengerusi eksekutif beberapa syarikat tersenarai awam termasuk Apex Equity Holdings Bhd, Excel Force MSC Bhd dan Key Alliance Group Bhd, selain memegang jawatan pengerusi bukan bebas dan bukan eksekutif di MMAG Holdings Bhd dan 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd.
Beliau juga berada dalam lembaga pengarah Berjaya Construction Bhd dan Bukit Kiara Resort Bhd, serta penasihat kepada Yayasan Usahawan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan