FIFA dedah asal-usul, tempat kelahiran datuk, nenek tujuh pemain warisan

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
SKUAD Harimau Malaya akan meneruskan perjuangan tanpa tujuh pemain warisan yang digantung FIFA.
SKUAD Harimau Malaya akan meneruskan perjuangan tanpa tujuh pemain warisan yang digantung FIFA.
Kuala Lumpur: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya mendedahkan alasan penuh di sebalik tindakan tatatertib dikenakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya, selepas mengesahkan wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal yang dikemukakan semasa proses pendaftaran pemain terbabit.

Dalam laporan rasmi bertajuk "Notification of the Grounds of the Decision", Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan hukuman itu dikenakan susulan pelanggaran di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA babitkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.

Siasatan mendapati beberapa dokumen sokongan yang dihantar oleh FAM termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain mengandungi butiran tidak sepadan dengan rekod asal di negara kelahiran sebenar pemain-pemain berkenaan.

Semakan lanjut mendapati individu yang dinamakan sebagai datuk dan nenek kepada tujuh pemain itu bukanlah dilahirkan di Malaysia, bertentangan dengan maklumat yang dikemukakan kepada FIFA.

Menurut Lampiran 13 laporan berkenaan, FIFA turut menyenaraikan lokasi sebenar kelahiran ahli keluarga pemain berdasarkan pengesahan rasmi.

Nenek kepada Gabriel Arrocha dilahirkan di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol, manakala datuk kepada Facundo Garces berasal dari Santa Fe de la Cruz, Argentina.

Ia kemudian menyaksikan datuk kepada Rodrigo Holgado dilahirkan di Buenos Aires, nenek Imanol Machuca pula di Roldan, manakala datuk kepada Joao Figueiredo berasal dari Abre Campo, Brazil.

Sementara itu, datuk kepada Jon Irazabal dikesan berasal dari wilayah Viscaya, Sepanyol, dan datuk Hector Hevel Serrano pula dilahirkan di The Hague, Belanda.

FIFA menjelaskan kesahihan maklumat berkenaan disahkan menerusi semakan silang dengan rekod rasmi jabatan pendaftaran sivil di negara masing-masing, dan tiada bukti sahih menunjukkan pertalian darah pemain-pemain terbabit dengan Malaysia.

Laporan itu turut menyebut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan salinan dokumen berdasarkan maklumat sekunder yang dikemukakan kepada mereka, bukan daripada rekod kelahiran asal.

Walaupun FAM dan pemain-pemain berkenaan menegaskan semua dokumen diperoleh melalui saluran sah, FIFA menegaskan prinsip "tanggungjawab mutlak" (strict liability) yang bermaksud walaupun tanpa niat untuk menipu, kegagalan mengesahkan ketulenan dokumen tetap dianggap sebagai satu kesalahan tatatertib.

Ketujuh-tujuh pemain berkenaan sebelum mewakili Malaysia dalam perlawanan antarabangsa rasmi, termasuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, di mana dua daripada mereka menjaringkan gol.

Berikutan dapatan itu, FIFA mengenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Swiss serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak antarabangsa.

FAM diberikan tempoh 30 hari untuk menjelaskan denda itu dan tiga hari untuk mengemukakan notis rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan