Alias Abd Rani

Penguat kuasa JAINJ menyerbu sebuah inap desa di Batu Pahat dan menahan lelaki bersama isteri orang. Foto JAINJ
BATU PAHAT: Seorang wanita berstatus isteri orang dicekup pegawai dan anggota Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat dalam sebuah inap desa di daerah ini, semalam.
Serbuan dilakukan pada jam 11.30 pagi dan menemukan wanita berusia 20-an bersama pasangannya yang juga berusia 20-an di inap desa terbabit selepas pihak berkuasa menerima maklumat awam mengenai perbuatan mereka.
Menurut JAINJ, pasangan itu datang ke inap desa dengan menaiki kereta berasingan dan berlakon seperti pasangan suami isteri sebelum mendaftar masuk.
“Selepas penguat kuasa mengetuk pintu lebih 10 minit, barulah ia dibuka. Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, lelaki itu cuba melarikan diri namun gagal.
“Mereka berdua tinggal dan bekerja di daerah ini. Lelaki itu tinggal bersama ibu bapa, manakala wanita tinggal bersama suami dan anak-anak.
“Lelaki itu empat tahun lebih muda daripadanya dan ketika serbuan, dia enggan memberi kerjasama untuk dibawa ke balai dengan menaiki van polis,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, selepas diberi kata dua, barulah lelaki itu menuruti arahan dan dia sendiri mengakui sudah melakukan kesilapan besar kerana membabitkan isteri orang.
“Hasil soal siasat, mereka menjalinkan hubungan sejak dua tahun lalu namun wanita itu merahsiakannya daripada pengetahuan suami.
“Pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 dengan denda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan