Sanusi tarik balik kenyataan fitnah, Anwar setuju tarik balik saman
SITI NUR ZAWANI
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor menarik balik kenyataan-kenyataan fitnah yang dibuatnya terhadap Perdana Menteri kira-kira dua tahun lalu ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Sanusi secara terbuka, suci hati dan tanpa syarat menarik balik kenyataan beliau.
Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bersetuju untuk menamatkan pertikaian ini secara muktamad memandangkan terdapat lebih banyak isu yang lebih besar yang perlu diberikan perhatian demi kepentingan negara.
“Setelah mempertimbangkan kesan daripada tindakan saman fitnah serta kos perundangan yang bakal ditanggung oleh kedua-dua pihak, pihak-pihak telah bersetuju untuk menamatkan pertikaian ini secara muktamad.
“YAB Datuk Seri Anwar dan YAB Datuk Seri Muhammad Sanusi telah mengambil keputusan untuk menghentikan pertikaian peribadi mereka dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya di Alor Setar.
“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan daripada prosiding ini, pihak-pihak dengan itu mengambil langkah penarikan balik ini sebagai usaha untuk menjernihkan keadaan dan mengekalkan hubungan yang baik dan berhemah antara kedua-dua pihak,” kata kenyataan itu.
Terdahulu saman difailkan Anwar berhubung ucapan Sanusi ketika kempen PRU15 di Tambun yang mendakwa Anwar seorang penipu, tidak boleh dipercayai dan tidak beretika serta telah mengkhianati mandat rakyat.
Sanusi juga mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong tidak diperoleh mengikut protokol dan prosedur yang ditetapkan, selain menuduh Anwar sebagai seorang penjenayah yang telah melakukan kesalahan yang masih kekal dalam rekod.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Anwar bersetuju untuk menarik semula Guaman Sivil terhadap Sanusi tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
Sanusi juga beriltizam untuk tidak mengulangi mana-mana perkataan yang menjadi asas tindakan guaman ini selepas daripada ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan