Kedah, Kes langgar lari: Polis cari waris pejalan kaki maut dilanggar

Zuliaty Zulkiffli
Pejalan kaki maut dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan yang disyaki langgar lari di Jalan Bagan Padang Serai berhampiran sebuah stesen minyak di Padang Serai, di sini, semalam. Foto NSTP/IHSAN Polis
KULIM: Polis sedang mengesan waris lelaki yang maut dalam kemalangan disyaki langgar lari di Jalan Bagan Padang Serai, berhampiran sebuah stesen minyak di Padang Serai, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 8.30 malam itu, mangsa sedang berjalan sebelum dilanggar oleh kenderaan yang belum dapat dikenal pasti setakat ini.

“Identiti mangsa juga belum dapat dikenal pasti. Sehubungan itu, polis masih mengesan waris mangsa dan saksi bebas diminta tampil untuk memberi maklumat bagi membantu siasatan.

“Kenderaan yang terbabit berkemungkinan rosak di bahagian cermin, namun setakat ini polis masih belum menerima laporan daripada pemandu itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulim atau Inspektor Nursery Adawiyah Muhammad di talian 011-33982365.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan