Kedah: Pegawai Jabatan Agama didakwa seleweng RM30,800 dana program

Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my
Muhammad Suhaimi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Muhammad Suhaimi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Alor Setar: Seorang pegawai di Jabatan Agama Daerah Kubang Pasu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan menyeleweng RM30,800 yang diperuntukkan bagi program keagamaan tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Suhaimi Salleh, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Allan Suman Pillai.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan pesanan kerajaan bernilai RM11,000 bagi pelaksanaan Program Gerakan Tumpuan Dakwah Sempena Isra' Mi'raj di Masjid Daerah Kubang Pasu pada 23 Januari tahun lalu, walaupun mengetahui program berkenaan tidak pernah dijalankan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan kedudukannya pada hari sama untuk memperoleh RM19,800 dengan meluluskan satu lagi pesanan kerajaan bagi program Majlis Haflah Atfal Tadika Islam peringkat daerah Kubang Pasu yang mana dia didakwa mempunyai kepentingan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pegawai pendakwa SPRM, Mohd Zulfadli Azharudin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili peguam, Muzambir Abd Razak merayu agar jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan serta menanggung kos rawatan tinggi selain memberi kerjasama penuh kepada pihak penyiasat.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga dikehendaki menyerahkan pasport dan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 27 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh membayar wang jaminan di kompleks mahkamah berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan